Malaysia mempunyai kadar diabetes tertinggi di Asia

Diabetes pembunuh senyap
March 9, 2018
Kencing manis dan komplikasinya
March 9, 2018

#Malaysia mempunyai kadar diabetes tertinggi di Asia

KUCHING: Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Pengerusi Eksekutif Institut Diabetes Kebangsaan (NADI), Datuk Dr Mustaffa Embong, berkata kira-kira 2.5 juta orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidapi penyakit diabetes dan statistik dalam rekod NADI menunjukkan hampir separuh daripada rakyat negara ini tidak sedar mereka menghidap kencing manis.

“Kebanyakan diabetes Jenis 2 langsung tidak menunjukkan sebarang gejala, sehinggalah anda terkena serangan jantung, strok (angin ahmar), buah pinggang bermasalah, menjadi buta dan terpaksa dilakukan amputasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan dan Perbincangan Agung Komplikasi Diabetes ke-10 (DCOM 2018) di sini, hari ini.

Dr Mustaffa, berkata diabetes adalah satu daripada masalah kesihatan yang kenali sebagai pembunuh senyap.

“Pada persidangan ini, pelbagai topik berkaitan aspek perubatan dan rawatan baharu untuk mereka yang menghidap diabetes akan dikemukakan bagi menangani masalah itu,” katanya.

Sebanyak 11 pakar dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Eropah dan Asia akan membentangkan topik masing-masing pada persidangan dua hari itu yang dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada pengamal perubatan. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/453449/malaysia-mempunyai-kadar-diabetes-tertinggi-di-asia