Gaya hidup punca diabetes generasi muda

Ramai tak sedar hidap diabetes
March 9, 2018
Diabetes pembunuh senyap
March 9, 2018

#Gaya hidup punca diabetes generasi muda

DIABETES adalah penyakit yang tidak asing lagi di negara ini kerana Tinjauan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan mendapati peratusan rakyat Malaysia yang menghidap kencing manis semakin meningkat.

Ini disebabkan faktor gaya hidup seperti pemakanan tidak terkawal dan kurang senaman, mengakibatkan lebih 60 peratus rakyat negara ini berada dalam golongan obesiti.

Diabetes boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu jenis satu dan jenis dua.

Jenis satu merujuk kepada penghasilan insulin yang tidak mencukupi oleh kelenjar pankreas pesakit. Ini biasanya terjadi secara tiba-tiba terutamanya golongan muda sejarah penyakit diabetes dalam keluarga.

Diabetes jenis dua pula merujuk kepada insulin yang tidak sensitif yang sedia ada dalam badan pesakit. Ini biasanya menjelma secara perlahan pada mereka yang berumur dan yang mempunyai sejarah kencing manis dalam keluarga.

DIABETIK Nefropati dikenali sebagai penyakit buah pinggang akibat kencing manis.

#Buah pinggang rosak kesan diabetes

Menurut Perunding Nefrologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Nirmala Devi Baskaran, laporan Daftar Pemindahan Buah Pinggang dan Dialisis Malaysia pada tahun 2014 mendapati seramai 35 ribu pesakit menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir.

“Daripada jumlah berkenaan, 61 peratus daripadanya mengalami kerosakan buah pinggang disebabkan serangan diabetes. Obesiti menjadi satu daripada penyebab utama insulin tidak sensitif.

“Gejala obesiti melanda generasi muda di negara ini berbanding generasi sebelumnya yang bekerja kuat di ladang dan sawah padi.

“Penyakit diabetes jenis dua yang sebelum ini menjadi satu daripada penyakit orang tua kini mengancam belia berumur antara 20 hingga 30-an. Malangnya, penyakit ini boleh dihidap bertahun-tahun tanpa sebarang tanda pada tahap awalnya,” katanya kepada BH Sihat baru-baru ini.

Beliau menjelaskan lebih lanjut bahawa diabetes mengakibatkan tahap gula berlebihan dalam darah.

DIABETIK nefropati boleh dielak atau dirawat menerusi kawalan ketat tahap gula dalam darah.

“Apabila tahap gula darah tinggi berterusan selama bertahun-tahun, akhirnya menyebabkan kerosakan pada saluran darah halus dalam badan pesakit.

“Lama-kelamaan membawa kepada kerosakan dalam organ yang dibekalkan darah oleh salur halus ini, termasuk kulit, saraf, mata, buah pinggang, jantung dan otak,” katanya.

Dr Nirmala berkata, penyakit buah pinggang akibat kencing manis atau dikenali sebagai Diabetik Nefropati ditakrifkan sebagai kehadiran berterusan protein dalam air kencing pengidap kencing manis.

“Kebanyakan pesakit mengalami gejala pada mata dan tekanan darah tinggi pada masa yang sama,” katanya.

#Boleh Dielak

Bagaimanapun, diabetik nefropati boleh dielak atau dirawat menerusi kawalan ketat tahap gula dalam darah.

Dr Nirmala berkata, kawalan tahap gula adalah paling penting semasa peringkat awal penyakit.

“Ini boleh dicapai dengan menjaga pemakanan dan mengambil ubat ikut arahan dan keperluan. Selepas beberapa tahun, pesakit diabetes jenis dua mungkin memerlukan insulin untuk mengawal tahap gula.

“Sasaran untuk tahap gula (HbA1c) bergantung kepada umur dan tahap kesihatan pesakit, iaitu sekitar enam hingga 6.5 peratus untuk pesakit yang muda dan sihat dan tujuh hingga 7.5 peratus untuk yang tua ataupun berisiko hipoglisemia,” katanya.

#Kawal tekanan darah

Tambahnya lagi, tekanan darah tidak terkawal mempercepatkan kemerosotan fungsi buah pinggang.

“Sasaran untuk tekanan darah adalah di bawah 130/80mmHg dan boleh dicapai dengan menggunakan pelbagai ubat darah tinggi. Ubat yang disyorkan adalah daripada kumpulan Angiotensin Converting Enzyme Inhibitors (ACEi) dan Angiotensin Receptor Blockers (ARB) bertujuan mengurangkan kebocoran protein dalam kencing.

“Diabetes dan diabetes nefropati boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar. Oleh sebab itu, tahap kolesterol juga perlu diperiksa dan dirawat sekiranya tinggi.

“Pesakit sendiri perlu mengamalkan cara hidup sihat iaitu mencapai berat badan berpatutan, mengikuti pemakanan yang rendah dalam kandungan garam, minyak dan protein, berhenti merokok dan bersenam secara teratur,” katanya.

#INFO:

* Diabetik nefropati membabitkan sekitar 40 peratus pesakit yang menghidap diabetes jenis satu dan 20 peratus pesakit diabetes jenis dua.

Faktor hidap diabetik nefropati
* Bangsa
* Sejarah keluarga
* Tahap gula tidak terkawal
* Tahap protein dalam kencing yang tinggi
* Kiraan Indeks Jisim Badan (BMI) > Berat (kg) / (Tinggi (m) x Tinggi (m)

BMI 18.5 – 25 : Berat berpatutan
BMI 25 – 30 : Lebih berat badan
BMI 30 – 35 : Obesiti
BMI > 35 : Sangat obesiti.

Sumber: Berita Harian

https://www.bharian.com.my/node/207083